Thursday, August 5, 2010

Selamat datang Universiti Ramadhan Kareem


Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir dan menciptakan alam ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad serta ahli keluarga baginda dan para sahabat juga para pangikutnya hingga hari akhirat.

Kita masih berada pada bulan syaaban dan menunggu masuk pintu gerbang bulan yang cukup mulia yang merupakan satu pusat pentarbiyahan kepada semua umat Islam yang berada di atas muka bumi ini.Bulan Ramadhan yang cukup dikenali dan dirindui bagi mereka yang soleh tetapi tidak digemari oleh penggemar maksiat.

Seluruh umat Islam bersedia untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan.Mereka akan memastikan keperluan bagi menyambut bulan Ramadhan dibeli secukupnya agar bulan Ramadhan dapat disambut dengan sempurna.Namun,persediaan mereka terhadap kedatangan Ramadhan hanya dari sudut materialnya sahaja seperti kuih-muih,bahan-bahan makanan dan barang-barang yang berkaitan dengannya sahaja tetapi mereka lupa dan leka dari menyediakan persiapan yang paling besar iaitu dari sudut rohani.

Persediaan terhadap bulan Ramadhan mestilah dibuat dengan penelitian yang bersungguh-sungguh supaya kita dapat mengutip segala ganjaran yang terdapat di dalamnya.Jika kita masuk tetapi tidak membawa alat-alat untuk mengutip ganjaran bulan Ramadhan maka kita akan keluar daripada bulan Ramadhan dengan sia-sia seperti kita pergi ke tepi sungai untuk menangkap ikan namun kita tidak membawa alat-alat untuk menangkap ikan maka kita akan pulang ke rumah dalam keadaan hampa kerana perbuatan kita adalah sia-sia.

Persiapan untuk ramadhan mestilah dibuat dari sekarang iaitu pada bulan syaaban agar apabila kita masuk ke dalam institusi Ramadhan kita akan dapat menghayati dan dapat mentarbiyah diri kita supaya keluar dari bulan Ramadhan hasilnya dapat dilihat dan berterusan sehingga kita bertemu Allah.

Apakah perkara yang patut kita lakukan ketika bulan syaaban ini bagi menghadapi Ramadhan?Pertama sekali ialah kita perlu bartaubat kepada Allah sebagaimana disebut dalam Al-Quran surah ar-Rum ayat 31 yang bermaksud:Hendaklah kamu sentiasa kembali kepada Allah(bertaubat)dan bertaqwa kepadaNya dan dirikanlah solat dan janganlah kamu masuk dikalangan orang-orang yang musyrik.

Didalam kitab Tajul Arus karangan ibnu atoillah juga meletakkan bab yang pertama mengenai taubat menunjukkan betapa taubat itu tersangat perlu bagi orang-orang islam kerana mereka tidak sedar melakukan dosa.Alat yang kedua pula sebagaimana firman Allah yag di atas ialah kita perlu bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengerjakan segala arahan dan meninggalkan segala laranganNya.Bab mengenai taqwa juga banyak disebut di dalam kitab-kitab karangan ulamak dan auliya bahkan Al-Quran sendiri menyebut bahawa :Semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang paling bertaqwa.
Perkara yang ketiga yang patut dilakukan oleh kita ialah mendirikan solat .Solat mestilah diadaptasikan dalam kehidupan kita bukan hanya didirikan di surau-surau ataupun tempat sembahyang sahaja kerana semua kita tahu bahawa falsafah solat itu tersangatlah luas.Oleh sebab itu Allah menyebut di dalam setiap ayat al-quran agar mendirikan solat bukan bersolatlah kamu menunjukkan bahawa solat itu perlu didirikan dalam kehidupan kita seharian.

Perkara yang terakhir di dalam ayat yang disebut Allah di atas tadi di dalam surah ar-Rum bahawa kita janganlah sekali-kali masuk dalam orang-orang yang musyrik,tidak kiralah syirik kecil ataupun besar kerana Allah melarang perbuatan menyekutukan Dia.Umat Islam pada hari ini hanya melihat perkara yang membatalkan solat,zakat,puasa mereka sahaja tetapi tidak menghiraukan perkara yang membatalkan syahadah mereka.Oleh sebab itulah apabila kita bergelar islam kita mestilah hidup dengan kehidupan Islam yang sebenar tidak memisahkan Islam dalam kehidupan seharian kita dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Mudah-mudahan Institusi Ramadhan yang akan datng ini dapat mentarbiyyah ruh dan jasad kita agar menjadi seorang muslim sejati bukan muslim yang mengambil sebahagian sahaja islam dan meninggalkan sebahagian yang lain.

No comments: