يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ خُذُواْ حِذۡرَڪُمۡ
فَٱنفِرُواْ ثُبَاتٍ أَوِ ٱنفِرُواْ جَمِيعً۬ا
Wahai orang-orang
yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh),
kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak atau
(jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.-surah An Nisa’ ayat 71
Fakta Sejarah
1.Setelah turunnya wahyu yang pertama(surah
al-alaq 1-5),Rasulullah berdakwah untuk islam secara rahsia dan sembunyi di
Makkah.Rasulullah menyeru secara rahsia kerana berhati-hati dari kaum Quraisy
dibimbangi mereka terkejut dengan ajaran islam lantaran pegangan kuat mereka
terhadap fahaman penyembahan berhala.Baginda tidak menzahirkan dakwah islam
dalam majlis-majlis umum dan baginda tidak berdakwah melainkan terhadap
individu terpilih dari kalangan keluarga dan sahabat handai yang mengenali
baginda.(Fiqh sirah-ramadhan al buti m/s 68)
2.Golongan yang mula-mula memeluk islam ialah
:-
·
Khadijah binti khuwailid r.a
·
Ali bin Abi Talib r.a
·
Zaid bin Haritsah r.a
·
Abu Bakr bin Abi Qahafah Assiddiq r.a
·
Usman bin Affan r.a
·
Zubair bin Awwam r.a
·
Abdul Rahman bin Auf r.a
·
Saad Bin Abi Waqqas r.a dan lain lagi
Mereka semua berjumpa dengan Rasulullah s.a.w
dalam keadaan bersembunyi,mereka akan pergi ke lembah Mekah yang tiada orang
apabila ingin beribadat kerana dibimbangi dilihat oleh kaum Quraisy(Fiqh
Sirah-Ramadhan Al Buti m/s 68)
Mengikut pendapat Syeikh Mustafa Sibaie dalam
kitab Sirah Nabawiyah Durus wa Ibar .Adapun orang yang mula memeluk
islam ialah khadijah,kemudian sepupunya Ali bin Abi Talib ketika itu berumur 10
tahun.Kemudian pembantu baginda Zaid bin Haritsah dan Abu Bakr Assiddiq.Adapun
orang yang mula-mula memeluk islam dari kalangan hamba ialah Bilal Bin Rabbah
al Habsyi.Berdasarkan kenyataan itu jelaslah bahawa Khadijahlah yang pertama
sekali beriman kepada Rasulullah s.a.w.Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah
mengerjakan solat pertama bersama Khadijah pada petang hari isnin.Solat pada masa itu adalah 2 rakaat siang dan 2
rakaat malam(Mustafa Sibae-Sirah Nabawiyah Durus wa Ibar m/s 17-18)
3.Rasulullah s.a.w memilih rumah Al-Arqam bin Abi al Arqam sebagai pusat
tarbiyah dan mempelajari islam.Nama sebenarnya Al-Arqam bin Abdul Manaf bin Asad
Al-Makhzumi,beliau adalah golongan awal memeluk islam,beliau juga menyertai
Rasulullah berhijrah ke Madinah .Baginda pernah menghadiahkan kepada Al-Arqam
sebilah pedang yang digunakan baginda
ketika peperangan Badar.Baginda melantik Al-Arqam sebagai Amil zakat
pada waktu kecemerlangan Islam di Madinah.Al-Arqam wafat pada tahun 53 hijrah
di Madinah,jenazahnya disolatkan oleh Saad bin Abi Waqqas.Rumah al-arqam
terletak di bukit sofa,tempat Rasulullah bersembunyi.Disinilah pusat tarbiyah
bagi golongan terawal memeluk islam sehingga jumlah pengikut islam seramai 50
orang termasuk Saidina Umar Al-Khattab.
4.Menurut Syeikh Al-Mubarakfuri,Rasulullah
s.a.w memilih rumah al-arqam sebagai pusat tarbiyah kerana :-
·
Keislaman Al-Arqam tidak diketahui oleh
golongan Quraisy
·
Al-Arqam adalah dari suku Bani Makhzum yang bermusuhan dengan Bani
Hasyim,Quraisy menganggap mustahil Rasulullah s.a.w bersembunyi di rumah
musuhnya.
·
Al-Arqam adalah seorang remaja ,beliau masuk
islam ketika berumur 16 tahun,maka golongan Quraisy berpendapat Rasulullah
s.a.w tidak memberikan tumpuan kepadanya kerana mudanya,pasti Rasulullah akan
memilih sahabat yang besar untuk dijadikan markas.
·
Rumah al-arqam terletak di Bukit Sofa,tempat
yang difikirkan mustahil dapat berkumpul ramainya manusia kerana sukar ke
tempat tersebut.
(manhajun
Nabiy fid Dakwah min khilali sirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 144)
5.Teknik dan Strategi para sahabat berjumpa
Rasulullah s.a.w di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam
·
Kaedah Saidina Ali dan Abu Zar ketika ingin
bertemu Rasulullah s.a.w di rumah al-arqam,saidina Ali memberitahu Abu Zar jika
bertemu perkara mencurigakan di tengah jalan menuju rumah al-arqam maka
hendaklah memberi isyarat dengan mukanya.
·
Kaedah Ummu Jamil binti Khattab(adik saidina
Umar alKhattab r.a) dan Ummul Khair Salma binti Sakhr(ibu saidina Abu Bakr
Assiddiq r.a)ketika memapah Saidina Abu Bakr Assiddiq yang cedera parah dipukul
Quraisy bertemu Rasulullah s.a.w di rumah Al-Arqam,kedua muslimat tersebut
memapah Abu Bakr sehingga tidak berbunyi tapak kaki mereka,mereka keluar dalam
keadaan bersandar keduanya sehingga sampai ke rumah Al-Arqam membawa masuk Abu
Bakar ke dalamnya.(Ibnu Katsir-Albidayah wan Nihayah m/s 30 jilid 3)
·
Ibnu Said dalam kitabnya AtTabaqat menceritakan
bagaimana Amar bin Yasir berjumpa Suhaib bin Sinan dipintu rumah al-arqam tanpa
ada perjanjian,lalu kedua-duanya bertanya di antara satu sama lain sebab
kedatangannya ke rumah al-arqam .Amar bertanya:Apa yang kamu mahu?Kata
Suhaib:Apa yang kamu mahu?Kata Amar:Aku mahu berjumpa Muhammad dan mendengar
kata-katanya,Jawab Suhaib:Aku juga begitu..Kedua-duanya masuk ke rumah al-arqam
lalu dibentangkan tentang islam kemudian mereka duduk disitu sehari suntuk
sehingga petang,kemudian kedua-duanya keluar dalam keadaan bersembunyi.(ibnu
said-Attabaqat m/s 227 jilid 3)
(manhajun Nabiy fid Dakwah min khilali sirah
sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 145)
6.Para sahabat yang mengikuti tarbiyah
Rasulullah s.a.w di rumah al-arqam akan menyebarkan dakwah islam kepada orang
lain yang dipercayai,Saidina Abu Bakar As Siddiq berdakwah kepada orang-orang
terpilih dari kalangan sahabat beliau yang sentiasa bermuamalah dengan
beliau,maka beberapa sahabat masuk islam hasil dakwah Abu Bakar seperti Usman
Bin Affan,Zubair bin Awwam,Saad bin Abi Waqqas,Talhah bin Ubaidillah dan Abdul
Rahman Bin Auf.(Sirah Ibnu Hisyam jilid 1 m/s 268)
7. Rumah al-arqam berperanan menjadi pusat
tarbiyah menerima penganut islam yang baru sehinggalah islamnya Umar bin
Alkhattab pada zulhijjah tahun ke- enam dari kenabian Rasulullah s.a.w. Said
bin Musayyab(ulamak besar Tabi’en) meriwayatkan bahawa: Islamnya Saidina Umar
selepas penganut islam berjumlah 40 lelaki dan 10 perempuan,setelah keislaman
Umar maka dizahirkan islam di Mekah.( manhajun Nabiy fid Dakwah min khilali
sirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 146)
Pelajaran dan Pengajaran Sirah
1. Rasulullah
s.a.w berdakwah secara rahsia bukanlah kerana takut kepada ancaman dikenakan
terhadap diri baginda kerana baginda yakin bahawa Allah berkuasa memelihara
diri baginda dari sebarang ancaman.Sekiranya Allah mengarahkan supaya berdakwah
secara terang-terangan dari awal pasti baginda akan melaksanakannya biarpun
mendapat ancaman .
Allah mengilhamkan kepada baginda
untuk berdakwah secara rahsia kerana untuk mengajar kepada para pendakwah
selepas baginda,dan menunjukkan kepada pendakwah jalan-jalan yang boleh
menyampaikan kepada matlamat dakwah.Dengan itu harus bagi pendakwah pada setiap
zaman menggunakan kaedah fleksibel dalam berdakwah-sama ada secara rahsia atau
terus terang,lembut atau kasar-mengikut suasana tempat pendakwah dan pendakwah
harus melihat maslahah umat islam di tempat tersebut dan maslahah dakwah islam.
Jumhur fuqaha’ bersetuju menyatakan
jika bilangan pendakwah sedikit dan mad’u mereka ramai serta bersepakat untuk
membunuh pendakwah maka pendakwah perlu mendahulukan maslahah menjaga nyawa.
(fiqh sirah-ramadhan albuti m/s
69)
Menyembunyikan dakwah bukanlah
bermakna menghentikan dakwah tetapi ianya adalah kaedah persediaan pembinaan
dalam mengasaskan tarbiyah.(manhajun nabiy fid Dakwah min khilali siirah
sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 147)
2. Mana-mana ajaran atau dakwah apabila
berlainan dan tidak sama dengan pegangan
orang ramai,apatah lagi bertentangan dengan fikiran mereka,hendaklah lebih
dahulu dijalankan secara sembunyi jangan lagi berterus -terang.Tunggulah
sehingga ada orang yang beriman yang sanggup mengorbankan segala-galanya baik
harta benda mahupun jiwa raga mereka kerana islam,dikala itu barulah boleh
berterus terang.
Ini kerana apabila pendakwah atau
pemimpinnya menerima seksaan daripada pihak musuh atau ditahan atau sebagainya
akan bangunlah pengikut-pengikutnya yang beriman dan setia tadi meneruskan kewajipan
mereka.Dengan demikian akan menjaminkan kesinambungan dakwah berterusan dan tidak tergendala perjuangannya disebabkan
kehilangan pemimpin tersebut.
(Sirah Nabawiyah durus wa
ibar-Mustafa Sibaie m/s 22)
3. Para juru
dakwah hendaklah berusaha mengadakan perjumpaan dengan pengikut dan
pendokongnya secara beberapa ketika dalam setiap hari dan minggu supaya dapat
menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap dakwahnya.Dan sekaligus dapat pula
mengajar mereka cara-cara ,pendekatan-pendekatan dan tatacara dakwah yang harus
dipelajari.Sekiranya suasana tidak mengizinkan perjumpaan itu dilakukan secara
terbuka maka hendaklah diadakan secara sembunyi agar tidak dapat dikesani musuh
yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan kegiatan dakwah itu atau sekurang-kurangnya
dapat mereka memperkuatkan lagi tekanan ke atas para pendakwah tadi.
( Sirah Nabawiyah durus wa
ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)
4. Para pendakwah
hendaklah menyediakan tempat perlindungan yang aman daripada gangguan musuh
bagi para pengikutnya,apabila didapati mereka berada didalam bahaya dan
terancam,sama ada nyawa mahupun pegangan yang mereka anuti.Dengan itu tidaklah
bererti bahawa setiap pejuang kebenaran tidak harus melakukan pengorbanan.Yang
demikian kerana bilangan mereka masih sedikit dan masih lemah,mudah dipatah dan
dihancurkan oleh musuh.Oleh itu mereka perlu diselamatkan di satu tempat yang
aman dan terjamin demi kelangsungan dakwah mereka.( Sirah Nabawiyah durus wa
ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)
5. Teknik dan
strategi para sahabat ketika pergi ke rumah al-arqam perlu dititik beratkan
oleh pendakwah . Para sahabat Rasulullah s.a.w sangat menjaga teknik penyampaian islam di zaman
penentangan islam agar agama islam dapat diteruskan sehingga akhirnya islam itu
sampai kepada kita pada hari ini.Jika para sahabat tidak berhati-hati dalam
menjaga kerahsiaan perjumpaan bersama Rasulullah s.a.w lalu musuh menghidu
gerakan dakwah Rasulullah s.a.w maka islam tidak akan tersebar kerana disekat.Sekiranya
kita mengambil mudah penyebaran risalah dakwah dalam keadaan musuh cuba
menyelidik gerakan dakwah di sesuatu tempat yang akhirnya menyebabkan kebocoran
risalah dakwah,maka kita menanggung dosa besar kerana kita telah menyebabkan
usaha dakwah di sesuatu kawasan itu terhenti akibat musuh menyekat dakwah kita.
6. Seorang
pendakwah harus teguh pendirian dan tetap jiwa untuk menjamin kelangsungan
dakwahnya,sekalipun jalan yang dilaluinya penuh dengan dugaan dan cubaan,samada
dalam bentuk susah dan duka mahupun dalam bentuk senang dan suka.Sesungguhnya
duka nestapa bagi seorang mukmin dalam perjalanannya menuju pantai kebenaran
adalah ketenangan hati dan jiwa kerana keredhaan Allah dan keindahan syurga
jauh lebih mulia dan mahal bagi mereka daripada segala pangkat kebesaran dan
segala mata benda dunia.
(Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)
(Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)
7. Sesungguhnya
musuh-musuh islam tidak akan mudah menyerah kalah kepada pejuang-pejuang
kebenaran.Setiap kali mereka gagal dalam apa cara dan teknik untuk menghalang
dan menghancurkan pejuang-pejuang kebenaran,mereka akan terus berusaha mencari
dan mencipta pelbagai cara lain pula untuk menghadapinya.Bagitulah seterusnya
hinggalah kebenaran itu benar-benar mencapai kemenangan akhirnya dan kebatilan
pula menemui kekalahan total serta menghembuskan nafasnya yang terakhir dan
terkubur lenyap.
(Sirah Nabawiyah durus wa
ibar-Mustafa Sibaie m/s 25)
Penyusun.
Ahmad Kamal Hafizullah Bin Sidek
Bukit Tumbuh 23 Jamadil Akhir 1435h.
Rujukan
v Al-Quran
v Fiqh Sirah
Nabawiyah keluaran Dar Salam,Mesir oleh Syeikh Dr Muhammad said Ramadhan Albuti
v Perjalanan
Hidup Nabi Muhammad s.a.w Kajian dan Pengajaran(sirah nabawiyah durus wa ibar) oleh
Syeikh Dr Mustafa As Sibaie,alih bahasa oleh Prof.Dr Abdul Rashid Hj Ahmad
keluaran Pustaka Darussalam ,Kedah.
v Manhajun Nabiy
Fid Dakwah Min Khilalis Siirah Sahihah oleh Syeikh Dr. Muhammad Makhzun
keluaran Darus Salam,Mesir.
No comments:
Post a Comment