Monday, October 25, 2010

Al-Durr al-Nafis dan Martabat 7


Tajuk Asal kitab Durrun Nafis ialah Ad-Dur An-Nafis Fi Bayan Wahidah Al-Af'al wa Al-Asma' wa As-Sifat wa Az-Zat Zat At-Taqdis, Ertinya: Permata yang bernilai pada menerangkan keesaan perbuatan, Nama, Sifat dan Zat Allah.

Tarikh kitab ini ditulis - tahun hijrah 1200.

Martabat pertama daripada segala martabat tanazzul zat itu iaitu martabat AHADIYAH. Maka zahir padanya segala sifat dan asma' tetapi binasa keduanya itu di dalam zat dan iaitu martabat kunhi zat Allah s.w.t.
Tiada di atas martabat itu martabat yang lain. Sekalian martabat yang tersebut itu di bawah martabat ini jua.

Martabat kedua daripada segala martabat tanazzul zat itu iaitu martabat WAHDAH namanya. Iaitu zahir daripadanya segala sifat dan asma' dengan ijmal yakni perhimpunan iaitulah hakikat nabi kita Muhammad s.a.w. yang iaitu asal daripada segala yang maujud dan hayatnya.

Martabat ketiga daripada segala martabat tanazzul zat itu iaitu martabat WAHIDIYAH iaitu zahir padanya segala sifat dan asma' dengan mentafsilkan akan barang yang ada ia mujmal pada hadrat WAHDAH.
Pada hadrat WAHIDIYAH ini hasillah khitob dengan ini daripada Allah Taala itu firmannya: INNAHU ANALLAH ertinya bahawasanya Aku Allah.

Martabat keempat daripada segala martabat tanazzul zat itu ialah martabat alam AL-ARWAH iaitu sunyi daripada bersusun lagi keadaannya itu terhampar luas iaitulah hakikat segala ruh yang zahir ia atas segala zatnya dan seumpamanya.

Martabat kelima daripada segala martabat tanazzul zat itu ialah martabat alam AL-MISAL ertinya segala perkara yang dijadikannya berupa yang halus yang tiada menerima bahagi.

Martabat keenam daripada segala martabat tanazzul zat itu ialah martabat alam AL-AJSAD ertinya iaitu segala perkara yang dijadikan berupa lagi kasar yang menerima bahagi.

Martabat ketujuh dari segala martabat tanazzul zat (penurunan Zat) itu menghimpunkan bagi segala martabat yang enam dahulu ialah martabat tajalli dan libas (pakaian) yang akhir iaitu martabat INSAN namanya maka inilah tujuh martabat.

1 comment:

Unknown said...

mcm mana nak dapat kitab ni?