Thursday, October 7, 2010

USLUB DAKWAH DAN CARA BERBICARA DI HADAPAN UMUM


Dan huraian yang telah lalu, sewajarnya tidaklah diambil pengertian,
bahawa pintu da’wah itu hanya satu saja, iaitu menyakinkan orang yang diseru
tentang ajaran Islam. Bahawa da’wah harus dimulai dengan ‘aqidah, menetapkan
adanya Allah Subhanahu Wata’ala dan di akhiri dengan menetapkan agama
Islam sebagai peraturan hidup dan bahawa memulai kehidupan menurut Islam
dan menegakkan hukum Islam adalah wajib hukumnya bagi tiap-tiap orang
Islam…!


Sebenarnya tidak demikian halnya. Dalam fasal ini akan diterangkan
Jalan Da’wah, yang dimaksudkan ialah kebijaksanaan Da’ie mencari pintu yang
memungkinkan ia dapat memasuki jiwa mad’unya, sehingga ia berhasil
meyakinkan mad’unya tentang kebenaran ajaran yang dikemukakannya itu dan
dapat menarik mad’unya untuk turut bergerak. Dalam masalah ini, seharusnya
kita bertolak dari hukum-hukum Syara’ yang kita jadikan sebagai landasan
gerakan dan tindakan kita. Dengan demikian, gerakan Islam itu tidak hanya
merupakan usaha mendadak yang dilakukan tanpa perhitungan dan banyak
dipengaruhi oleh perasaan, kemahuan dan pendapat seseorang. Usaha yang
demikian, malahan mungkin akan menyimpang dari ketentuan yang asal, dan
peraturan yang ditetapkan oleh agama.  Ajaran agama itu seharusnya
terpelihara dari penyelewengan dan penyimpangan!


Mudah difahami bahawa masyarakat manusia pada masa sekarang ini
memerlukan usaha yang akan menarik perhatian mereka kepada agama Islam.
Mereka perlu diinsafkan tentang kewujudan Islam sebagai Peraturan Hidup.
Islam seharusnya dijadikan Pimpinan Ikutan dan Imam yang akan memberi
petunjuk yang jelas di tengah-tengah arus dan kekuatan alam yang saling
bertentangan. Dan mudah juga difahami, bahawa usaha menarik perhatian ini
merupakan langkah pertama, pengantar yang dikerjakan lebih dahulu, sebelum
dimulai usaha meyakinkan mad’u tentang kebenaran ajaran Islam. Malahan,
usaha menarik perhatian ini merupakan rangsangan pertama yang
dimaksudkan untuk mempersiapkan akal dan jiwa mad’u, supaya
terangsang dan bersedia menerima ajaran Islam itu.


Tuntutan Islam untuk melaksanakan usaha menarik perhatian ini dapat
dilihat dengan jelas, jika kita mengikuti cara-cara Al-Qur’an dan Sunnah
RasuluLlah SaLlaLlahu ‘alaihi Wasallam dalam mengetengahkan da’wah di
kalangan masyarakat. Sebagai contoh misalnya, Al-Qur’an berulang kali menarik
perhatian orang-orang musyrik untuk mendengarkan ayat-ayat Al-Qur’an itu.
Beberapa Surah dimulai dengan huruf-huruf Hija’iyyah ( الحروف الهجائية ) seperti
الم) )dan sebagainya. Huruf-huruf yang terputus-putus ini mempunyai pengaruh
yang besar dalam menggugah perhatian kaum Musyrikin, mendorong mereka
untuk diam, tenang dan mendengarkan lanjutannya baik-baik; walaupun
sebenarnya kaum Musyrikin itu sering menutup telinganya dengan hujung
jarinya, jika mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an sedang dibacakan!


 Method yang diterapkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dalam
berda’wah, tidak lain ialah penafsiran secara ‘amali tentang pengarahan ,
Allah Subhanahu Wata ‘ala dalam firman-Nya:
ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِ َ ظةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ َأحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ
هُوَ َأعَْلمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ َأعَْلمُ بِالْمُهْتَدِين
“Ajaklah ummat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat
yang baik…”
(Surah Al-Nahl: Ayat 125)
يُؤتِي الْحِكْمََة مَن يَشَاء وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمََة َفَقدْ ُأوتِيَ خَيْرًا َ كثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ ُأوُْلوْا
الأَلْبَاب
“Barang siapa yang diberi nikmat kebijaksanaan, maka sesungguhnya ia telah diberi
kebaikan yang banyak”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 269)


Kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ialah berusaha
menggerakkan jiwa orang yang diserunya secara tidak langsung.Sebagai contoh
pernah ada seorang pemuda minta izin kepada beliau supaya diperbolehkan
berzina. Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam berganti tanya dengan
pemuda itu apakah ia senang, kalau orang berzina dengan ibunya… dengan
saudaranya yang perempuan… dengan anak puterinya… sehingga akhirnya
orang itu insaf. Demikian juga, kebijaksanaan baginda dapat dilihat dalam cara
baginda menarik perhatian orang kepada Islam, dan membimbing orang itu ke
jalan yang benar, pada waktu seorang lelaki datang lalu mengatakan ia mahu
masuk Islam, tetapi merasa berat untuk mengamalkan ajaran-ajarannya yang
banyak. Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
هل تعا هدنى على ترك الكذب
“Maukah engkau berjanji dengan saya untuk meninggalkan
berdusta?”
Orang itu mengira, tentu ringan sekali, ia diperintahkan meninggalkan
satu dosa saja, iaitu berdusta. Orang itu bersedia dan lalu masuk Islam. Tetapi
kemudian setiap ia teringat akan mengerjakan sesuatu perbuatan yang tidak
baik, ia selalu teringat akan janjinya. Ia merasa, bahawa besok atau lusa, kalau
bertemu dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam maka ia mesti mengakui
perbuatannya di hadapan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan tidak boleh
berdusta. Ia merasa segan dan malu, lalu tidak jadi mengerjakan pekerjaan yang
tidak baik itu…! Demikian, akhirnya ia betul-betul menjadi orang baik…!


Demikianlah seterusnya, kebijaksanaan yang baginda tunjukkan dalam
menyampaikan ajaran Islam kepada mad’unya sesuai dengan kemampuan daya
fikir mereka dan dengan nada yang dapat memberi kesan ke atas mereka. Dan
pernah juga baginda menggerakkan suatu pohon besar, sebagai tanda benarnya
keNabian beliau, di hadapan seorang Badwi yang datang menanyakan mukjizat
beliau. Oleh sebab itu, maka termasuk kebijaksanaan dalam berda’wah, menarik
perhatian masyarakat kepada Islam, berbicara dengan mereka dalam bidang
yang dapat mereka fahami dan dengan nada yang menyebabkan mereka
terangsang! Perlu diingatkan bahawa manusia itu berlain-lainan dalam segala-galanya,
dalam kecerdasan dan ilmu pengetahuan, dalam tabi’at dan
perasaannya! Dan juga berbeza-beza pula jalan fikiran dan daya fahamannya,
serta kemahuan dan bakatnya. Kesemuanya ini mengharuskan Da’ie memilih
pintu masuknya yang sesuai, untuk mempengaruhi jiwa mad’unya dan memilih
cara yang sesuai dengan taraf kecerdasan orang-orang yang diserunya itu!
 

Memang banyak kunci yang dapat dimanfaatkan untuk membuka pintu hati
seseorang. Banyak bahan yang dapat dijadikan sebagai pengantar untuk
meyakinkan mereka. Di antaranya:


1. Da’ie mengemukakan suatu jalan keluar terhadap sesuatu masalah hidup yang sedang
dihadapi oleh mad’unya. Atau Da’ie menawarkan jasa untuk menyelesaikan kesibukan
mad’unya itu.


2. Da’ie mengetengahkan suatu jalan penyelesaian terhadap sesuatu persoalan politik
yang sedang hangat dan menyerabutkan fikiran masyarakat.


3. Da’ie mengadakan suatu kunjungan persahabatan (ziarah) yang mesra kepada
seseorang, atau berbicara dengan mesra dalam sesuatu pertemuan menunggu acara
dimulai atau pada waktu sama-sama berangkat ke masjid atau sama-sama pulang dari
masjid.


4. Da’ie menulis sesuatu rencana (artikel) dalam Majalah atau Harian.
 

Demikianlah beberapa contoh cara menarik perhatian mad’unya. Dan
Da’i tentu saja dapat memikirkan contoh yang lain-lain yang dapat
menggerakkan fikiran dan perasaan mereka dan menyebabkan mereka lalu
terangsang.


Gerakan Islam dapat menarik perhatian orang kepada Islam, melalui
celah-celah persoalan hidup yang mereka hadapi, baik yang kecil ataupun yang
besar. Apalagi kalau misalnya Da’ie turut mengambil bahagian dalam
menyelesaikan sesuatu persoalan yang penting dengan cara yang baik, terutama
persoalan politik. Kalau Da’ie pandai memberi jalan keluar yang sesuai dengan
ajaran Islam dan di bawah sinar Islam, maka penyelesaiannya itu mungkin akan
menampakkan kepada masyarakat, bagaimana kekeliruan politik yang sedang
diterapkan. Apa yang perlu Da’ie harus bersabar, kerana mungkin untuk
timbulnya kesedaran itu memerlukan waktu. Namun selanjutnya, peristiwa itu
akan mengarahkan pandangan masyarakat kepada Islam. Tingkah-laku dan
perjalanan Da’ie akan menjadi contoh yang mendorong mereka untuk
mempelajari lebih banyak lagi, fikrah-fikrah serta pengertian dan pandangan
Islam.

 
Dengan demikian jelaslah, bahawa Da’wah dalam bentuk Harakah
Islamiyyah akan dapat memanfa’atkan setiap persoalan yang timbul di kalangan
masyarakat untuk menarik perhatian masyarakat, sehingga mereka bertindak
melenyapkan tradisi- tradisi Jahiliyyah yang masih ada. Secara tidak langsung,
akan menyebabkan perhatian mereka tertarik kepada Islam, mula-mula dengan
dorongan ingin tahu bagaimana Islam itu selengkapnya. Lalu Da’i berusaha
supaya mereka mempelajari cara berfikir dan buah fikiran berdasarkan ajaran
Islam dan bagaimana ni’matya berpegang serta beriltizam dengan prinsip-prinsip
Islam. Mereka akan merasakan keagungan Islam, lalu turut
menikmatinya dan berjihad menegakkan ajaran-ajarannya.

No comments: