Sunday, April 1, 2012

Dari Mimbar Ulamak



Published on 06 March 2012Hits: 326
Print
Di dalam surah An Nisa' ayat 135, ia ada menyentuh persoalan berkaitan dengan saksi dalam kes kesalahan yang dibicarakan di mahkamah yang menjalankan syariat Allah Taala, di mana Allah memerintahkan supaya orang-orang yang beriman menjadi saksi yang adil dan benar, jangan menjadi saksi yang fasiq (jahat). Mengikut hukum Islam sesuatu kesalahan mestilah di-sabitkan dengan saksi yang adil sama ada dengan dua atau empat saksi dalam kes zina. Saksi itu mestilah orang yang beriman, adil dan tidak mengerjakan dosa besar dan tidak kekal dalam mengerjakan dosa kecil serta tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.

Menjadi saksi bohong adalah dosa besar. Allah Taala memberi amaran yang keras di dalam Al Quranul Karim berhubung dengan saksi dan begitu juga dengan Rasulullah S.A.W. Hal ini menunjukkan bahawa orang yang menjadi saksi mestilah menegakkan keadilan. Jangan menyeleweng ketika menjadi saksi. Penyelewengan ketika menjadi saksi adalah dosa besar kerana membawa kezaliman kepada orang yang dituduh melakukan kesalahan.

Allah Taala berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" (surah an Nisa':135, Al Quranul Karim)

Dalam bahasa Arab perkataan 'Qawwamin' dengan makna sungguh-sungguh kerana ia dikenali sebagai kalimah `sighah mubalaghah', ertinya kamu hendaklah bersungguh dalam melaksanakan keadilan dalam perkara penyaksian untuk memberi hak kepada seseorang ataupun menjatuhkan hukuman kepada seseorang semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan duniawi.

Allah memberi pahala yang besar kepada orang yang menegakkan keadilan walaupun di atas dirinya sendiri. Ertinya kamu menjadi saksi dengan penuh keadilan ke atas diri kamu sehingga dijatuhkan hukuman. Begitulah juga terhadap orang lain ataupun jika kamu menjadi saksi ke atas kedua ibu bapa kamu. Kamu mesti menjadi saksi yang adil ke atas keduanya walaupun hal itu boleh mengakibatkan ibu bapa kamu dijatuhkan hukuman. Soal penyaksian yang adil ini tidak termasuk dalam kes menderhakai ibu bapa kerana dengan menjatuhkan hukuman akibat penyaksian yang adil itu menyebabkan keduanya terselamat dari seksaan api neraka.

Tegasnya tindakan sedemikian termasuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sebaliknya. Begitu juga dengan saksi yang adil terhadap kaum keluarga menyebabkan mereka dijatuhkan hukuman dan ini bukan bererti memutuskan hubungan keluarga. Yang lebih penting ialah firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan" (surah at Tahrim:6, Al Quranul Karim)

Tujuan menjadi saksi terhadap mereka ialah supaya mereka terhindar dari menjadi ahli neraka. Apabila ibu bapa menerima hukuman di dunia dengan hukum Islam yang adil maka selamat dari hukuman neraka.

Tiada khilaf di kalangan ulama tentang harusnya seseorang itu menjadi saksi yang boleh mengakibatkan sesuatu hukuman dikenakan ke atas ibu bapa dan keluarganya. Adapun menjadi saksi untuk membela kedua ibu bapa supaya terselamat dari dijatuhkan hukuman, suatu tindakan yang diperselisihkan di kalangan ulama. Ada ulama tidak mengharuskan anak menjadi saksi terhadap ayah dan ibunya, atau adik beradik, isteri tidak boleh menjadi saksi terhadap suami dan begitulah sebaliknya kecuali di dalam Mazhab Syafie yang  membenarkan isteri menjadi saksi bagi pihak suami.
link: www.tarbawi.my

No comments: