Written by Akademi Tarbiyah DPPM
Pengertian "AMANAH"
bagi orang Melayu hanyalah sekadar tanggungjawab menjaga barang yang
diwakilkan untuk simpanan atau yang dihantar kepada seseorang. Takrif
ini yang sangat sempit dan terhimpit daripada makna yang sebenarnya
mengikut ajaran Islam, sehingga mengongkong fikiran. Politik pula
dimasukkan
dalam amalan kotor yang terpisah daripada agama yang suci. Malangnya
kefahaman ini turut diikuti oleh kalangan yang dianggap agamawan yang
bertauliah besar.
Justeru, ketika bangsa lain berpolitik
memerintah negara, orang Melayu pula menjadikan politik sebagai jalan
untuk naik pangkat atau memperoleh harta supaya jadi kaya cepat. Maka
pemimpin politik Melayu yang berkuasa besar tidak perlu bimbang dengan
apa sahaja salah laku dalam amalan politik, ekonomi dan pentadbiran.
Cukup dengan solat lima waktu kalau rajin, atau solat Jumaat secara
mingguan, atau solat hari raya secara tahunan kerana adanya siaran
langsung. Kalau ada duit yang banyak lebih baik mengerjakan amalan haji
dan umrah berulang kali, lebih-lebih lagi nilai tambahnya pula dapat
peluang masuk ke dalam Ka'abah yang diberi keistimewaan kepada para
VVIP, yang tidak mungkin dapat kepada rakyat jelata. Cukup dengan itu,
bagi membersihkan diri dan tangan daripada segala kesalahan mentadbir
negara dan rakyat, atau mencuri sebanyak mana yang mahu daripada harta
negara atau apa sahaja salah laku dalam politik boleh dihilangkan dengan
mudah sahaja.
Pengertian Amanah
Bagi memahami hakikat yang sebenar, baca dan fahamilah firman Allah yang menjadi petunjuk kepada sesiapa yang beriman :
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu)
apabila melaksanakan hukuman (dalam semua urusan) di antara manusia
supaya kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar Lagi
Maha Melihat" - An Nisa':58
"Wahai orang-orang yang beriman,
taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan Ulil Amri (para pemimpin) di
antara kamu. Kemudian jika kamu bertelingkah pendapat tentang sesuatu,
maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya),
jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang
demikian itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik penyelesaian dan
akibatnya" - An Nisa': 59
Ayat-ayat ini kebiasaannya dibaca secara
berasingan dalam khutbah Jumaat dan ceramah rasmi serta diamalkan
secara berasingan pula. Maka, wajib dibaca semula dalam kitab-kitab
tafsir secara riwayat daripada para ulama salaf dan khalaf (terdahulu
dan kemudiannya sehingga terkini) dan secara dirayat (pengetahuan)
dengan kaedah ilmu Al Quran yang betul.
Kedudukan kedua-dua ayat ini mengikut
penyusunan Al Quran-laksana mata rantai yang tidak boleh dipatah,
dipotong dan dipisahkan. Menunjukkan betapa rapat kaitan antara amanah
dan urusan pemerintahan (politik), serta hubungan kedua-dua kewajipan
itu dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul yang wajib secara mutlak.
Adapun ketaatan kepada Ulil Amri (pemimpin) tidak secara mutlak,
dinyatakan syarat ketaatan kepada Allah dan Rasul, serta kaitannya
dengan istiqamah berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah, sehinggalah
dikaitkan pula menjadi syarat beriman kepada hari Akhirat.
Para ulama tafsir Al Quran pula
menegaskan bahawa Ulil Amri itu ialah para ulama (ilmuan Islam) dan
umara (para pemimpin politik). Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa Para
Rasul adalah juga ahli politik, bukan hanya pendakwah. Sabda Rasulullah
S.A.W yang bermaksud, "Adalah yang menjadi pemimpin siasah (politik)
kepada kaum Bani Israil ialah Para Anbiya' (Nabi-Nabi). Setiap Nabi
yang wafat, maka diganti Nabi selepasnya dan tidak ada lagi Nabi
selepasku! Akan ada pula para Khalifah (pengganti dikalangan umat)
jumlah mereka ramai".
Para sahabat bertanya, "Apa perintahmu terhadap kami?"
Baginda menjawab, "Tunaikan
baiah (janji ketaatan) kepada yang pertama, kemudian yang berikutnya.
Berikan hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. Maka sesungguhnya
Allah akan bertanya kepada mereka (pada hari kiamat kelak) daripada
apa-apa yang ditugaskan kepada mereka" - (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ibn Majah).
Memilih Khalifah
Hadis ini menafsirkan
ayat-ayat yang tersebut di atas. Kisah Para Anbiya' yang dipaparkan oleh
Al Quran pula menunjukkan perjuangan Para Rasul berdakwah menghadapi
rakyat dan berpolitik dengan mengharungi perjuangan yang getir,
bertarung dengan kerajaan yang zalim dan rakyat yang diperbodohkan.
Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W, Para Sahabat R.A berhimpun kerana
bermesyuarat untuk memilih khalifah penggantinya sehingga sebahagian
besar mereka meninggalkan upacara pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W
menunjukkan betapa pentingnya urusan politik negara.
Para Khulafa' Al Rasyidin
(khalifah-Khalifah) di kalangan Para Sahabat pula meneruskan perjuangan
Rasulullah S.A.W menghadapi golongan pemimpin murtad dan kuasa besar
dunia Parsi dan Rom yang zalim. Mereka mengikut contoh Para Rasul S.A.W
bagi menegakkan Islam yang adil kepada seluruh manusia, menunjukkan
bahawa perjuangan mereka adalah melaksanakan konsep dakwah dan politik
yang tidak memisahkan urusan pemerintahan dan agama.
Para ulama hadharah pula diantaranya
Ibnu Khaldun, Al Mawardi, Abu Ya'ala dan lain-lain menafsirkan perkataan
Khalifah atau Khilafah dengan maksud menegakkan Ad Din (Agama) dan
Siasah (politik) mentadbir urusan dunia dengan ajaran agama. Bagi
mencapai tujuannya pula hendaklah melaksanakan kewajipan berdakwah dan
berjihad mengikut peringkat dan cabarannya.
No comments:
Post a Comment