Monday, April 30, 2012

Dirimu dan diriku

Bila kita kasih dan sayang kepada seseorang kita sanggup membuat apa sahaja untuknya,jaga hatinya sekalipun kadangkala si dia tidak menjaga hati kita,jaga tatabahasa ketika bercakap dengan si dia sekalipun si dia tidak menjaga tatabahasanya dengan kita,kita akan membuat yang terbaik untuknya kerana hati kita sudah terpaut padanya...

Begitulah Allah,apabila sayangNya melimpah kepada hamba,sekalipun si hamba melakukan apa yang tidak disukai oleh Allah,namun Dia tetap melimpahkan rahmatNya kepada si hamba..
Allah Yang Maha Agung
Siapakah kita disisiNya?Mengapa kita sombong dan angkuh denganNya?Apakah kita dijamin syurga??
Duhai kita,pohon ampunlah padaNya,,
Tiada kemampuan dalam melakukan ketaatan,tiada kekuatan dalam meninggalkan maksiat melainkan semuanya memerlukan pertolongan Allah.....

Wednesday, April 11, 2012

Mimbar Ulamak 2

Written by Akademi Tarbiyah DPPM
Print
Pengertian "AMANAH" bagi orang Melayu hanyalah sekadar tanggungjawab menjaga barang yang diwakilkan untuk simpanan atau yang dihantar kepada seseorang. Takrif ini yang sangat sempit dan terhimpit daripada makna yang sebenarnya mengikut ajaran Islam, sehingga mengongkong fikiran. Politik pula dimasukkan dalam amalan kotor yang terpisah daripada agama yang suci. Malangnya kefahaman ini turut diikuti oleh kalangan yang dianggap agamawan yang bertauliah besar.

Justeru, ketika bangsa lain berpolitik memerintah negara, orang Melayu pula menjadikan politik sebagai jalan untuk naik pangkat atau memperoleh harta supaya jadi kaya cepat. Maka pemimpin politik Melayu yang berkuasa besar tidak perlu bimbang dengan apa sahaja salah laku dalam amalan politik, ekonomi dan pentadbiran. Cukup dengan solat lima waktu kalau rajin, atau solat Jumaat secara mingguan, atau solat hari raya secara tahunan kerana adanya siaran langsung. Kalau ada duit yang banyak lebih baik mengerjakan amalan haji dan umrah berulang kali, lebih-lebih lagi nilai tambahnya pula dapat peluang masuk ke dalam Ka'abah yang diberi keistimewaan kepada para VVIP, yang tidak mungkin dapat kepada rakyat jelata. Cukup dengan itu, bagi membersihkan diri dan tangan daripada segala kesalahan mentadbir negara dan rakyat, atau mencuri sebanyak mana yang mahu daripada harta negara atau apa sahaja salah laku dalam politik boleh dihilangkan dengan mudah sahaja.

Pengertian Amanah
Bagi memahami hakikat yang sebenar, baca dan fahamilah firman Allah yang menjadi petunjuk kepada sesiapa yang beriman :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila melaksanakan hukuman (dalam semua urusan) di antara manusia supaya kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat" - An Nisa':58

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan Ulil Amri (para pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu bertelingkah pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang demikian itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik penyelesaian dan akibatnya" - An Nisa': 59
Ayat-ayat ini kebiasaannya dibaca secara berasingan dalam khutbah Jumaat dan ceramah rasmi serta diamalkan secara berasingan pula. Maka, wajib dibaca semula dalam kitab-kitab tafsir secara riwayat daripada para ulama salaf dan khalaf (terdahulu dan kemudiannya sehingga terkini) dan secara dirayat (pengetahuan) dengan kaedah ilmu Al Quran yang betul.

Kedudukan kedua-dua ayat ini mengikut penyusunan Al Quran-laksana mata rantai yang tidak boleh dipatah, dipotong dan dipisahkan. Menunjukkan betapa rapat kaitan antara amanah dan urusan pemerintahan (politik), serta hubungan kedua-dua kewajipan itu dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul yang wajib secara mutlak. Adapun ketaatan kepada Ulil Amri (pemimpin) tidak secara mutlak, dinyatakan syarat ketaatan kepada Allah dan Rasul, serta kaitannya dengan istiqamah berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah, sehinggalah dikaitkan pula menjadi syarat beriman kepada hari Akhirat.

Para ulama tafsir Al Quran pula menegaskan bahawa Ulil Amri itu ialah para ulama (ilmuan Islam) dan umara (para pemimpin politik). Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa Para Rasul adalah juga ahli politik, bukan hanya pendakwah. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Adalah yang menjadi pemimpin siasah (politik) kepada kaum Bani Israil ialah Para Anbiya' (Nabi-Nabi). Setiap Nabi yang wafat, maka diganti Nabi selepasnya dan tidak ada lagi Nabi selepasku! Akan ada pula para Khalifah (pengganti dikalangan umat) jumlah mereka ramai".
Para sahabat bertanya, "Apa perintahmu terhadap kami?"
Baginda menjawab, "Tunaikan baiah (janji ketaatan) kepada yang pertama, kemudian yang berikutnya. Berikan hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. Maka sesungguhnya Allah akan bertanya kepada mereka (pada hari kiamat kelak) daripada apa-apa yang ditugaskan kepada mereka" - (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ibn Majah).

Memilih Khalifah

Hadis ini menafsirkan ayat-ayat yang tersebut di atas. Kisah Para Anbiya' yang dipaparkan oleh Al Quran pula menunjukkan perjuangan Para Rasul berdakwah menghadapi rakyat dan berpolitik dengan mengharungi perjuangan yang getir, bertarung dengan kerajaan yang zalim dan rakyat yang diperbodohkan. Selepas wafatnya Rasulullah S.A.W, Para Sahabat R.A berhimpun kerana bermesyuarat untuk memilih khalifah penggantinya sehingga sebahagian besar mereka meninggalkan upacara pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W menunjukkan betapa pentingnya urusan politik negara.

Para Khulafa' Al Rasyidin (khalifah-Khalifah) di kalangan Para Sahabat pula meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W menghadapi golongan pemimpin murtad dan kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang zalim. Mereka mengikut contoh Para Rasul S.A.W bagi menegakkan Islam yang adil kepada seluruh manusia, menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah melaksanakan konsep dakwah dan politik yang tidak memisahkan urusan pemerintahan dan agama.

Para ulama hadharah pula diantaranya Ibnu Khaldun, Al Mawardi, Abu Ya'ala dan lain-lain menafsirkan perkataan Khalifah atau Khilafah dengan maksud menegakkan Ad Din (Agama) dan Siasah (politik) mentadbir urusan dunia dengan ajaran agama. Bagi mencapai tujuannya pula hendaklah melaksanakan kewajipan berdakwah dan berjihad mengikut peringkat dan cabarannya.

Sunday, April 1, 2012

Dari Mimbar Ulamak



Published on 06 March 2012Hits: 326
Print
Di dalam surah An Nisa' ayat 135, ia ada menyentuh persoalan berkaitan dengan saksi dalam kes kesalahan yang dibicarakan di mahkamah yang menjalankan syariat Allah Taala, di mana Allah memerintahkan supaya orang-orang yang beriman menjadi saksi yang adil dan benar, jangan menjadi saksi yang fasiq (jahat). Mengikut hukum Islam sesuatu kesalahan mestilah di-sabitkan dengan saksi yang adil sama ada dengan dua atau empat saksi dalam kes zina. Saksi itu mestilah orang yang beriman, adil dan tidak mengerjakan dosa besar dan tidak kekal dalam mengerjakan dosa kecil serta tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.

Menjadi saksi bohong adalah dosa besar. Allah Taala memberi amaran yang keras di dalam Al Quranul Karim berhubung dengan saksi dan begitu juga dengan Rasulullah S.A.W. Hal ini menunjukkan bahawa orang yang menjadi saksi mestilah menegakkan keadilan. Jangan menyeleweng ketika menjadi saksi. Penyelewengan ketika menjadi saksi adalah dosa besar kerana membawa kezaliman kepada orang yang dituduh melakukan kesalahan.

Allah Taala berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan" (surah an Nisa':135, Al Quranul Karim)

Dalam bahasa Arab perkataan 'Qawwamin' dengan makna sungguh-sungguh kerana ia dikenali sebagai kalimah `sighah mubalaghah', ertinya kamu hendaklah bersungguh dalam melaksanakan keadilan dalam perkara penyaksian untuk memberi hak kepada seseorang ataupun menjatuhkan hukuman kepada seseorang semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan duniawi.

Allah memberi pahala yang besar kepada orang yang menegakkan keadilan walaupun di atas dirinya sendiri. Ertinya kamu menjadi saksi dengan penuh keadilan ke atas diri kamu sehingga dijatuhkan hukuman. Begitulah juga terhadap orang lain ataupun jika kamu menjadi saksi ke atas kedua ibu bapa kamu. Kamu mesti menjadi saksi yang adil ke atas keduanya walaupun hal itu boleh mengakibatkan ibu bapa kamu dijatuhkan hukuman. Soal penyaksian yang adil ini tidak termasuk dalam kes menderhakai ibu bapa kerana dengan menjatuhkan hukuman akibat penyaksian yang adil itu menyebabkan keduanya terselamat dari seksaan api neraka.

Tegasnya tindakan sedemikian termasuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sebaliknya. Begitu juga dengan saksi yang adil terhadap kaum keluarga menyebabkan mereka dijatuhkan hukuman dan ini bukan bererti memutuskan hubungan keluarga. Yang lebih penting ialah firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan" (surah at Tahrim:6, Al Quranul Karim)

Tujuan menjadi saksi terhadap mereka ialah supaya mereka terhindar dari menjadi ahli neraka. Apabila ibu bapa menerima hukuman di dunia dengan hukum Islam yang adil maka selamat dari hukuman neraka.

Tiada khilaf di kalangan ulama tentang harusnya seseorang itu menjadi saksi yang boleh mengakibatkan sesuatu hukuman dikenakan ke atas ibu bapa dan keluarganya. Adapun menjadi saksi untuk membela kedua ibu bapa supaya terselamat dari dijatuhkan hukuman, suatu tindakan yang diperselisihkan di kalangan ulama. Ada ulama tidak mengharuskan anak menjadi saksi terhadap ayah dan ibunya, atau adik beradik, isteri tidak boleh menjadi saksi terhadap suami dan begitulah sebaliknya kecuali di dalam Mazhab Syafie yang  membenarkan isteri menjadi saksi bagi pihak suami.
link: www.tarbawi.my