Thursday, June 5, 2014

Sejarah Permulaan Dakwah Rasulullah s.a.w (Pelajaran dan Pengajaran)



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ خُذُواْ حِذۡرَڪُمۡ فَٱنفِرُواْ ثُبَاتٍ أَوِ ٱنفِرُواْ جَمِيعً۬ا
Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.-surah An Nisa’ ayat 71

Fakta Sejarah

1.Setelah turunnya wahyu yang pertama(surah al-alaq 1-5),Rasulullah berdakwah untuk  islam secara rahsia dan sembunyi di Makkah.Rasulullah menyeru secara rahsia kerana berhati-hati dari kaum Quraisy dibimbangi mereka terkejut dengan ajaran islam lantaran pegangan kuat mereka terhadap fahaman penyembahan berhala.Baginda tidak menzahirkan dakwah islam dalam majlis-majlis umum dan baginda tidak berdakwah melainkan terhadap individu terpilih dari kalangan keluarga dan sahabat handai yang mengenali baginda.(Fiqh sirah-ramadhan al buti m/s 68)

2.Golongan yang mula-mula memeluk islam ialah :-
·         Khadijah binti khuwailid r.a
·         Ali bin Abi Talib r.a
·         Zaid bin Haritsah r.a
·         Abu Bakr bin Abi Qahafah Assiddiq r.a
·         Usman bin Affan r.a
·         Zubair bin Awwam r.a
·         Abdul Rahman bin Auf r.a
·         Saad Bin Abi Waqqas r.a dan lain lagi

Mereka semua berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dalam keadaan bersembunyi,mereka akan pergi ke lembah Mekah yang tiada orang apabila ingin beribadat kerana dibimbangi dilihat oleh kaum Quraisy(Fiqh Sirah-Ramadhan Al Buti m/s 68)

Mengikut pendapat Syeikh Mustafa Sibaie dalam kitab Sirah Nabawiyah Durus wa Ibar .Adapun orang yang mula memeluk islam ialah khadijah,kemudian sepupunya Ali bin Abi Talib ketika itu berumur 10 tahun.Kemudian pembantu baginda Zaid bin Haritsah dan Abu Bakr Assiddiq.Adapun orang yang mula-mula memeluk islam dari kalangan hamba ialah Bilal Bin Rabbah al Habsyi.Berdasarkan kenyataan itu jelaslah bahawa Khadijahlah yang pertama sekali beriman kepada Rasulullah s.a.w.Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengerjakan solat pertama bersama Khadijah pada petang hari isnin.Solat  pada masa itu adalah 2 rakaat siang dan 2 rakaat malam(Mustafa Sibae-Sirah Nabawiyah Durus wa Ibar m/s 17-18)




3.Rasulullah s.a.w memilih rumah Al-Arqam bin Abi al Arqam sebagai pusat tarbiyah dan mempelajari islam.Nama sebenarnya Al-Arqam bin Abdul Manaf bin Asad Al-Makhzumi,beliau adalah golongan awal memeluk islam,beliau juga menyertai Rasulullah berhijrah ke Madinah .Baginda pernah menghadiahkan kepada Al-Arqam sebilah pedang yang digunakan baginda  ketika peperangan Badar.Baginda melantik Al-Arqam sebagai Amil zakat pada waktu kecemerlangan Islam di Madinah.Al-Arqam wafat pada tahun 53 hijrah di Madinah,jenazahnya disolatkan oleh Saad bin Abi Waqqas.Rumah al-arqam terletak di bukit sofa,tempat Rasulullah bersembunyi.Disinilah pusat tarbiyah bagi golongan terawal memeluk islam sehingga jumlah pengikut islam seramai 50 orang termasuk Saidina Umar Al-Khattab.

4.Menurut Syeikh Al-Mubarakfuri,Rasulullah s.a.w memilih rumah al-arqam sebagai pusat tarbiyah kerana :-
·         Keislaman Al-Arqam tidak diketahui oleh golongan Quraisy
·         Al-Arqam adalah dari suku  Bani Makhzum yang bermusuhan dengan Bani Hasyim,Quraisy menganggap mustahil Rasulullah s.a.w bersembunyi di rumah musuhnya.
·         Al-Arqam adalah seorang remaja ,beliau masuk islam ketika berumur 16 tahun,maka golongan Quraisy berpendapat Rasulullah s.a.w tidak memberikan tumpuan kepadanya kerana mudanya,pasti Rasulullah akan memilih sahabat yang besar untuk dijadikan markas.
·         Rumah al-arqam terletak di Bukit Sofa,tempat yang difikirkan mustahil dapat berkumpul ramainya manusia kerana sukar ke tempat tersebut.
  (manhajun Nabiy fid Dakwah min khilali sirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 144)

5.Teknik dan Strategi para sahabat berjumpa Rasulullah s.a.w di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam
·         Kaedah Saidina Ali dan Abu Zar ketika ingin bertemu Rasulullah s.a.w di rumah al-arqam,saidina Ali memberitahu Abu Zar jika bertemu perkara mencurigakan di tengah jalan menuju rumah al-arqam maka hendaklah memberi isyarat dengan mukanya.

·         Kaedah Ummu Jamil binti Khattab(adik saidina Umar alKhattab r.a) dan Ummul Khair Salma binti Sakhr(ibu saidina Abu Bakr Assiddiq r.a)ketika memapah Saidina Abu Bakr Assiddiq yang cedera parah dipukul Quraisy bertemu Rasulullah s.a.w di rumah Al-Arqam,kedua muslimat tersebut memapah Abu Bakr sehingga tidak berbunyi tapak kaki mereka,mereka keluar dalam keadaan bersandar keduanya sehingga sampai ke rumah Al-Arqam membawa masuk Abu Bakar ke dalamnya.(Ibnu Katsir-Albidayah wan Nihayah m/s 30 jilid 3)

·         Ibnu Said dalam kitabnya AtTabaqat menceritakan bagaimana Amar bin Yasir berjumpa Suhaib bin Sinan dipintu rumah al-arqam tanpa ada perjanjian,lalu kedua-duanya bertanya di antara satu sama lain sebab kedatangannya ke rumah al-arqam .Amar bertanya:Apa yang kamu mahu?Kata Suhaib:Apa yang kamu mahu?Kata Amar:Aku mahu berjumpa Muhammad dan mendengar kata-katanya,Jawab Suhaib:Aku juga begitu..Kedua-duanya masuk ke rumah al-arqam lalu dibentangkan tentang islam kemudian mereka duduk disitu sehari suntuk sehingga petang,kemudian kedua-duanya keluar dalam keadaan bersembunyi.(ibnu said-Attabaqat m/s 227 jilid 3)
(manhajun Nabiy fid Dakwah min khilali sirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 145)

6.Para sahabat yang mengikuti tarbiyah Rasulullah s.a.w di rumah al-arqam akan menyebarkan dakwah islam kepada orang lain yang dipercayai,Saidina Abu Bakar As Siddiq berdakwah kepada orang-orang terpilih dari kalangan sahabat beliau yang sentiasa bermuamalah dengan beliau,maka beberapa sahabat masuk islam hasil dakwah Abu Bakar seperti Usman Bin Affan,Zubair bin Awwam,Saad bin Abi Waqqas,Talhah bin Ubaidillah dan Abdul Rahman Bin Auf.(Sirah Ibnu Hisyam jilid 1 m/s 268)

7. Rumah al-arqam berperanan menjadi pusat tarbiyah menerima penganut islam yang baru sehinggalah islamnya Umar bin Alkhattab pada zulhijjah tahun ke- enam dari kenabian Rasulullah s.a.w. Said bin Musayyab(ulamak besar Tabi’en) meriwayatkan bahawa: Islamnya Saidina Umar selepas penganut islam berjumlah 40 lelaki dan 10 perempuan,setelah keislaman Umar maka dizahirkan islam di Mekah.( manhajun Nabiy fid Dakwah min khilali sirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 146)

Pelajaran dan Pengajaran Sirah

1.       Rasulullah s.a.w berdakwah secara rahsia bukanlah kerana takut kepada ancaman dikenakan terhadap diri baginda kerana baginda yakin bahawa Allah berkuasa memelihara diri baginda dari sebarang ancaman.Sekiranya Allah mengarahkan supaya berdakwah secara terang-terangan dari awal pasti baginda akan melaksanakannya biarpun mendapat ancaman .
Allah mengilhamkan kepada baginda untuk berdakwah secara rahsia kerana untuk mengajar kepada para pendakwah selepas baginda,dan menunjukkan kepada pendakwah jalan-jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat dakwah.Dengan itu harus bagi pendakwah pada setiap zaman menggunakan kaedah fleksibel dalam berdakwah-sama ada secara rahsia atau terus terang,lembut atau kasar-mengikut suasana tempat pendakwah dan pendakwah harus melihat maslahah umat islam di tempat tersebut dan maslahah dakwah islam.

Jumhur fuqaha’ bersetuju menyatakan jika bilangan pendakwah sedikit dan mad’u mereka ramai serta bersepakat untuk membunuh pendakwah maka pendakwah perlu mendahulukan maslahah menjaga nyawa.

(fiqh sirah-ramadhan albuti m/s 69)

Menyembunyikan dakwah bukanlah bermakna menghentikan dakwah tetapi ianya adalah kaedah persediaan pembinaan dalam mengasaskan tarbiyah.(manhajun nabiy fid Dakwah min khilali siirah sahihah-Dr Muhammad Makhzun m/s 147)








2.        Mana-mana ajaran atau dakwah apabila berlainan  dan tidak sama dengan pegangan orang ramai,apatah lagi bertentangan dengan fikiran mereka,hendaklah lebih dahulu dijalankan secara sembunyi jangan lagi berterus -terang.Tunggulah sehingga ada orang yang beriman yang sanggup mengorbankan segala-galanya baik harta benda mahupun jiwa raga mereka kerana islam,dikala itu barulah boleh berterus terang.
Ini kerana apabila pendakwah atau pemimpinnya menerima seksaan daripada pihak musuh atau ditahan atau sebagainya akan bangunlah pengikut-pengikutnya yang beriman dan setia tadi meneruskan kewajipan mereka.Dengan demikian akan menjaminkan kesinambungan dakwah berterusan  dan tidak tergendala perjuangannya disebabkan kehilangan pemimpin tersebut.
(Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 22)

3.       Para juru dakwah hendaklah berusaha mengadakan perjumpaan dengan pengikut dan pendokongnya secara beberapa ketika dalam setiap hari dan minggu supaya dapat menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap dakwahnya.Dan sekaligus dapat pula mengajar mereka cara-cara ,pendekatan-pendekatan dan tatacara dakwah yang harus dipelajari.Sekiranya suasana tidak mengizinkan perjumpaan itu dilakukan secara terbuka maka hendaklah diadakan secara sembunyi agar tidak dapat dikesani musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan kegiatan dakwah itu atau sekurang-kurangnya dapat mereka memperkuatkan lagi tekanan ke atas para pendakwah tadi.
( Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)

4.       Para pendakwah hendaklah menyediakan tempat perlindungan yang aman daripada gangguan musuh bagi para pengikutnya,apabila didapati mereka berada didalam bahaya dan terancam,sama ada nyawa mahupun pegangan yang mereka anuti.Dengan itu tidaklah bererti bahawa setiap pejuang kebenaran tidak harus melakukan pengorbanan.Yang demikian kerana bilangan mereka masih sedikit dan masih lemah,mudah dipatah dan dihancurkan oleh musuh.Oleh itu mereka perlu diselamatkan di satu tempat yang aman dan terjamin demi kelangsungan dakwah mereka.( Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)

5.       Teknik dan strategi para sahabat ketika pergi ke rumah al-arqam perlu dititik beratkan oleh pendakwah . Para sahabat Rasulullah s.a.w sangat  menjaga teknik penyampaian islam di zaman penentangan islam agar agama islam dapat diteruskan sehingga akhirnya islam itu sampai kepada kita pada hari ini.Jika para sahabat tidak berhati-hati dalam menjaga kerahsiaan perjumpaan bersama Rasulullah s.a.w lalu musuh menghidu gerakan dakwah Rasulullah s.a.w maka islam tidak akan tersebar kerana disekat.Sekiranya kita mengambil mudah penyebaran risalah dakwah dalam keadaan musuh cuba menyelidik gerakan dakwah di sesuatu tempat yang akhirnya menyebabkan kebocoran risalah dakwah,maka kita menanggung dosa besar kerana kita telah menyebabkan usaha dakwah di sesuatu kawasan itu terhenti akibat musuh menyekat dakwah kita.



6.       Seorang pendakwah harus teguh pendirian dan tetap jiwa untuk menjamin kelangsungan dakwahnya,sekalipun jalan yang dilaluinya penuh dengan dugaan dan cubaan,samada dalam bentuk susah dan duka mahupun dalam bentuk senang dan suka.Sesungguhnya duka nestapa bagi seorang mukmin dalam perjalanannya menuju pantai kebenaran adalah ketenangan hati dan jiwa kerana keredhaan Allah dan keindahan syurga jauh lebih mulia dan mahal bagi mereka daripada segala pangkat kebesaran dan segala mata benda dunia.
(Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 24)


7.       Sesungguhnya musuh-musuh islam tidak akan mudah menyerah kalah kepada pejuang-pejuang kebenaran.Setiap kali mereka gagal dalam apa cara dan teknik untuk menghalang dan menghancurkan pejuang-pejuang kebenaran,mereka akan terus berusaha mencari dan mencipta pelbagai cara lain pula untuk menghadapinya.Bagitulah seterusnya hinggalah kebenaran itu benar-benar mencapai kemenangan akhirnya dan kebatilan pula menemui kekalahan total serta menghembuskan nafasnya yang terakhir dan terkubur lenyap.
(Sirah Nabawiyah durus wa ibar-Mustafa Sibaie m/s 25)


Penyusun.
Ahmad Kamal Hafizullah Bin Sidek
Bukit Tumbuh 23 Jamadil Akhir 1435h.

Rujukan
v  Al-Quran
v  Fiqh Sirah Nabawiyah keluaran Dar Salam,Mesir oleh Syeikh Dr Muhammad said Ramadhan Albuti

v  Perjalanan Hidup Nabi Muhammad s.a.w Kajian dan Pengajaran(sirah nabawiyah durus wa ibar) oleh Syeikh Dr Mustafa As Sibaie,alih bahasa oleh Prof.Dr Abdul Rashid Hj Ahmad keluaran Pustaka Darussalam ,Kedah.

v  Manhajun Nabiy Fid Dakwah Min Khilalis Siirah Sahihah oleh Syeikh Dr. Muhammad Makhzun keluaran Darus Salam,Mesir.