Friday, January 2, 2015

Salam Jumaat 2015

Assalamualaikum,ucapan salam buat hari pertama Jumaat dalam tahun 2015.
Usai solat subuh tadi saya membelek dan membaca hadis karangan dan susunan Imam Muslim yang merupakan kitab hadis sahih.Saya membaca kelebihan hari Jumaat.

Saya ingin kongsikan didalam ini apa yang saya bacakan tadi.

Hadis ini terletak pada باب فضل يوم الجمعة yang bermaksud Bab pada menyatakan Kelebihan Hari Jumaat.Bab ini merupakan pecahan kecil di dalam tajuk كتاب الجمعة

Hadis ke 854 mengikut kitab di tangan saya cetakan Darul Hadis Kaherah ini.

وحدثنى حرملة بن يحي أخبرنا ابن وهب أخبرنى يونس عن ابن شهاب أخبرنى عبد الرحمن الأعرج أنه سمع أبا هريرة يقول قال رسول الله صلى الله عليه و أله وسلم

خير يوم طلعت عليه الشمس يوم الجمعة فيه خلق أدم وفيه أدخل الجنة وفيه أخرج منها

menyampaikan kepada saya harmalah bin yahya,memberitahu kepada kami Ibnu wahbin,memberitahu kepada saya yunus daripada ibnu syihab,memberitahu kepada saya abdul rahman al a'raj sesungguhnya dia mendengar Abu Hurairah sedang berkata.Telah bersabda Rasulullah-selawat dan salam ke atasnya-

Sebaik-baik hari terbit padanya matahari ialah Hari Jumaat,padanya diciptakan Adam dan padanya dimasukkan ke dalam Syurga dan padanya dikeluarkan dari syurga itu.


Sengaja saya meletakkan sanad kepada hadis ini supaya mengikut apa yang saya baca di dalam kitab dan saya tidak menguranginya sedikitpun.Bimbang saya menjadi penjenayah ilmiah pula.
Rasulullah -pbuh- memberitahu tentang kelebihan hari jumaat.Apa yang dapat difahami secara ringkas ialah

1-Hari Jumaat ialah hari terbaik
2-Pada hari Jumaat diciptakan Nabi Adam a.s
3-Hari Jumaat juga dimasukkan Nabi Adam a.s kedalam Syurga
4-Dikeluarkan Nabi Adam a.s dari syurga juga pada Hari Jumaat

semoga catatan ini bermanfaat,andai ada kesilapan mohon dibetulkan kerana saya ialah insan yang tiada langsung kelebihan hanya mengharap Redha Allah

Thursday, January 1, 2015

2015

Tahun 2015 mula menjelma,sungguh laju masa ini berlalu pergi.Perasaan diri ini masih merasakan baru semalam melangkah kaki ke alam sekolah,tetapi hakikatnya diri ini sudah berusia pemuda.

Tahun 2014 berlalu dalam keadaan saudara saya di beberapa negeri di uji dengan ujian yang agak berat dari Allah.Harta mereka hilang,rumah mereka musnah,saudara mereka mati,mereka berada dalam kelaparan ,bahkan ada di antara mereka tiada tempat berlindung.

Menjejak ke tahun baru ini,bermakna umur kita semakin berkurang.Apa yang kita ingin capai sepanjang berada di atas muka bumi ini?Apakah matlamat kita hanya ingin berjaya dalam kehidupan yang kita ceburi sahaja dengan meminggirkan matlamat utama kita?Tujuan hidup janganlah kita lupakan kerana matlamat itulah yang perlu kita selesaikan.

1-Allah menciptakan kita adalah supaya kita menjadi hamba Allah,maka setiap perbuatan dari bangun tidur hingga kita ke tempat pembaringan di atas katil mestilah mengikut arahan dan suruhan Allah taala serta kita menjauhkan diri  dari larangan Allah.Inilah maksud ayat Allah didalam surah Azzariyat ayat 56

وما خلقت الجن و الانس الا ليعبدون
tidak aku cipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku


2.Allah menjadikan kita supaya kita mentadbir urus dunia ini mengikut agamaNya iaitu Islam.Jika kita adalah seorang ketua keluarga,pastikan isteri dan anak-anak kita hidup dalam keadaan Islam.Jika kita adalah Ketua Kampung pastikan kita melakukan program yang dapat menyebabkan penduduk kampung mengenali Islam dan beramal dengan ajarannya,apatah lagi jika kita adalah ketua sesebuah kerajaan,tanggungjawab itu lebih besar berada dipundak kita.
Firman Allah taala di dalam surah al baqarah ayat 30

   
30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".



3.Allah memberikan kita amanah untuk dipikul.Amanah ini akan disoal sebaik sahaja kita menghembuskan nafas yang terakhir didunia ini,Seorang jua pun tidak akan terlepas dari tanggungjawab masing-masing.

Allah mengingatkan kita di dalam kitab Al-Quran dengan firmanNya surah al ahzab ayat 70

  
72. Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan.







oleh itu,apabila kita sudahpun masuk ke tahun baru ini,Marilah kita mempersiapkan diri dengan amalan yang banyak agar kita ada bekalan buat menuju ke hari Akhirat

Hari ini adalah hari menambhkan amal,Di dunia ini tiada Hisab dari Allah
Esok ialah hari Hisab.di Akhirat.Tiada lagi peluang untuk beramal





Wednesday, October 15, 2014

PERBAHASAN BERKENAAN NIQAB(PURDAH)



Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.

Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.

Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:
عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.

Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.
KESIMPULAN

Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah. 

Wallahu a’lam

Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Mohd Nazrul Abd Nasir
Rumah Kedah Hayyu 10

di ambil dari 

http://nazrulnasir.blogspot.com/2009/04/perbahasan-berkenaan-niqabpurdah.html